Total Pageviews

Monday 19 December 2011

Cerpen - Julia (Part 2)

Julia agak sibuk di pejabat petang itu. Sudah seminggu Nani cuti bersalin dan segala urusan di jabatan itu di serahkan kepadanya sebelum di majukan kepada ketua jabatan iaitu  Encik Abdul Rahim. Darshan sibuk dengan kertas kerja berkaitan sistem perkomputeran syarikat manakala Azuan pula sedang menghitung hari untuk meninggalkan syarikat.
“Julia, lapuran untuk agenda 3 dan 4 ni dah ok. Awak sediakan slide untuk presentation nanti.” Julia menoleh. Encik Abdul Rahim menghulurkan salinan lapuran yang telah ditandatangani oleh CEO syarikat dengan huruf “O” dan “K” yang cukup jelas.
“Baiklah Encik Rahim.” Sambil tangannya pantas menyambut salinan lapuran yang dihulurkan itu.
“Agenda ke 4 tu akan saya cuba finalisekan esok pagi. Harap-harap CEO berpuas hati. Kalau tidak lagi banyak kerja awak nanti.” Ujar Encik Abdul Rahim sambil memandang Julia penuh simpati.
“Tak mengapa Encik Rahim. Saya boleh uruskan.” Jawab Julia penuh yakin sambil tersenyum.
“Julia ada panggilan di talian 3.” Kedengaran suara Nana menerusi intercom. Encik Abdul Rahim terus berlalu ke biliknya dan Julia dengan pantas menekan butang talian 3.
“National Mortgage Berhad. Julia speaking.”
“Assalamualaikum Julia.”
“Waalaikumsalam. Who is on the line?”
“Jefri.”
“Encik Jefri from where?” Soal Julia sambil matanya masih sibuk meneliti lapuran yang baru diterimanya tadi.
“Jefri from PERBA Trading.” Jawab Jefri agak perlahan. Julia sedikit tergamam. Lapuran yang masih berada di tangannya diletakkan perlahan-lahan di atas meja.
“Oh, Jefri. Maaf Julia tak perasan tadi.” Ujar Julia dengan nada penuh kesal.
“Julia sibuk ke?” Soal Jefri.
“Memang sibuk sangat. Salinan lapuran untuk ahli Lembaga Pengarah Ju kena siapkan hari ni juga. Slide untuk presentation lagi. Entahlah.” Keluh Julia.
“Kerja, memanglah macam tu.” Ujar Jefri lembut.
“Selalu tak kelam kabut macam ni.” Balas Julia kembali.
“Maaflah kalau Jef menggangu Ju kerja.”
“Eh tak adalah. Ju pun perlu rehat juga. Dah letih sangat hari ni.” Balas Julia sambil menarik nafas panjang.
“Okaylah Ju. Lain kali Jef telefon lagi. Mungkin kita boleh keluar minum sama.” Pelawa Jef.
“Okay.” Balas Julia pendek. Hatinya sedikit bimbang. Bimbang sekiranya apa yang tersirat di hatinya dapat di baca Jefri. Julia menoleh ke arah cermin kecil di depannya. Dia teringat akan kata-kata Jefri ketika pertemuan pertama mereka dulu. Ketika itu Julia baru sahaja memasuki keretanya untuk pulang ke rumah. Jefri bersama Fuad menghampiri kereta Julia sambil meneliti kerosakan kecil di bahagian pintu penumpang akibat kemalangan yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Tiba-tiba Jefri masuk ke dalam kereta lalu duduk di kerusi penumpang.
“Saya rasa seronok sekali jumpa dengan Julia.” Ujar Jefri.
“Saya juga rasa begitu.” Balas Julia.
“Jef suka tengok kening Ju. Cantik.” Puji Jefri sambil terus merenung wajah Julia.
“Ish, tak adalah. Biasa je.” Jawab Julia dalam keadaan tidak begitu selesa kerana direnung begitu.
“Puji-puji ni ada makna ke? Okaylah, nanti Ju belanja makan.” Gurau Julia cuba mengelak dari terus direnung.
“Boleh beri nombor telefon bimbit Ju?” Pinta Jefri sambil merenung wajah Julia. Julia sekadar tersenyum.
“Nak bagi tak?” Soal Jefri lagi.
“Nak buat apa? Tak payahlah. Hantar email je kan ke cukup.” Julia cuba mengelak.
“Tengok telefon Ju ni. Pinjam sekejap” Pinta Jef sambil mengambil telefon bimbit Julia yang terletak di bahagian hadapan kereta bersebelahan beg tangan Julia. Pantas sekali Jefri mendail nombor telefonnya menggunakan telefon bimbit Julia.
“Saja nak buat ‘missed call’.” Ujar Jefri sambil tersenyum nakal ke arah Julia. Julia tidak dapat berbuat apa-apa selain menyimpan telefon bimbitnya semula ke dalam beg tangan.
“Macam le nak call Ju.” Balas Julia acuh tak acuh.
“Tunggu sajalah.” Jawab Jefri sebelum keluar dan menutup pintu kereta Julia.


Petang itu ketika Jefri baru saja keluar dari bilik mesyuarat telefon di pejabatnya berdering.
“Hello.”
“Hello Jef. Fuad ni.”
“Ha. Apahalnya Fuad. Macam tahu je aku baru habis meeting.” Ujar Jefri sambil membelek kertas kerja yang baru dibentangkan tadi.
“Saja je call. Nak tanya khabar.”
“Ala Fuad. Macamlah aku baru kenal engkau. Engkau kalau telefon aku mesti ada perkara yang engkau nak cerita.” Balas Jefri.
“Betul. Aku saja je telefon tapi aku nak juga tahu samada si Julia ada contact engkau tak?” Jefri terus ketawa mendengar pertanyaan Fuad. ‘Sibuk betul Fuad ni.’ Getus hatinya.
“Kenapa engkau nak tahu? Dah tak ada kerja lain ke?” Balas Jefri. Fuad ketawa. Perangkapnya tidak mengena. Puas dia cuba mengorek rahsia dari Julia tapi jawapan yang diterima tetap sama. ‘Dorang berdua ni memang berpakat.’ Fuad berbisik sendirian.


Suasana Restoran Beringin di Kampung Baru agak lengang petang itu. Ramai pelanggan telah kembali ke pejabat masing-masing kerana waktu telah hampir ke jam 3 petang. Julia dan Fuad baru saja memesan makanan dan minuman dari pelayan restoran.
“Jefri tu ada isteri, tapi baru seorang. Anak ada 4 orang. Ha, apa lagi yang Ju nak tahu?” Ujar Fuad sambil tersenyum kambing ke arah Julia.
“Siapa pula yang nak tahu pasal Jefri ni?” Balas Julia sambil memasamkan mukanya.
“Ala, cakap sajalah yang Ju dah jatuh hati pada si Jefri tu. Baik-baik Ju, dia tu manis mulut. Jangan sampai terjerat pula nanti.” Ujar Fuad.
“Ha, ha, ha.” Balas Julia selamba.
“Aku cukup kenal engkau tu Ju. Memang Jefri tu taste engkau. Kalau engkau dah sukakan dia, pandai-pandailah bawa diri.” Nasihat Fuad.
“Macam aku ni, siapalah yang nak.” Balas Julia sambil tersenyum mengejek ke arah Fuad.
“Engkau ni cantik Ju. Siapa yang kata engkau tak cantik?” Julia terus mengekek mendengar kata-kata Fuad.
“Engkau je yang kata aku cantik.” Jawab Julia terus ketawa tapi tawanya mati di situ apabila melihat airmuka Fuad yang serius.
“Kalau aku ni kaya, banyak duit, dah lama aku ambil engkau jadi isteri aku Princess.” Ujar Fuad perlahan. Hampir saja tidak di dengar oleh Julia. Julia diam. Lidahnya kelu tidak terkata. Selama berkawan dengan Fuad mereka tidak pernah bercerita tentang perasaan antara mereka berdua. Bagi Julia, Fuad adalah rakan karibnya. Tidak lebih dari itu. Julia tidak pernah menyintai Fuad, jauh sekali dari menyimpan sebarang impian untuk menjadi teman hidup Fuad.
“Dah buang tebiat ke?” Julia cuba berseloroh sambil menyambut nasi goreng yang dihulurkan pelayan restoran kepadanya.
“Aku tahu, engkau tak pernah simpan perasaan pada aku Ju. Aku je yang sukakan engkau selama ni.”Balas Fuad.
“Sudahlah tu Fuad. Aku lapar ni dan tak ada mood nak bergurau dengan engkau pasal perkara ni. Lagi pun aku cukup bahagia dengan hidup aku sekarang. Makan nasi goreng tu, nanti dah sejuk tak sedap.”


Julia membelek-belek fail peribadinya. Segala sijil yang diperlukan untuk temuduga sebentar lagi telah disusun dengan rapi di dalam fail tersebut. Julia membelek wajahnya di cermin. Dia harus kelihatan kemas, yakin dan menarik. Masih ada 10 minit sebelum dia perlu memasuki bangunan pejabat di hadapannya itu untuk sesi ujian dan temuduga.
“You jangan lupa study pasal foreign exchange Ju.” Ashghar mengingatkannya semalam.
“Sebelum di temuduga you kena attend test dulu. Kalau you gagal test tu, you tak akan di panggil langsung. So better get yourself prepared.” Begitu bersungguh-sungguh Ashghar menasihatinya.
“You jangan bagi I malu tau Ju. You akan di temuduga oleh Kamal. Dia tu bos I. Make sure you tunjukkan siapa diri you yang sebenar. Confidence must be there.” Julia tersenyum sendiri mengingatkan kata-kata Ashghar. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas Julia menjawabnya.
“Dah sedia?” Kedengaran suara Jefri menyoalnya.
“Insyaallah.” Jawab Julia bersahaja. Dia perlu bertenang kerana telah lama dia tidak menghadiri sebarang temuduga. Yang terakhir ialah ketika dia memohon jawatan yang dipegangnya sekarang di National Mortgage Berhad.
“Saya yakin awak akan berjaya. Saya doakan kejayaan awak.” Ujar Jefri.
“Terima kasih atas sokongan dan doa kawan-kawan.” Balas Julia.
“Dari semalam lagi saya dah doakan untuk Julia.” Julia rasa begitu terharu. Dia tidak menyangka Jefri akan menghubunginya ketika itu.
“Okaylah. Ju dah nak pergi ni. Terima kasih banyak-banyak.” Julia menarik nafas panjang dan melangkah keluar dari keretanya penuh yakin. Lesen memandu ditinggalkan di pos pengawal sebelum mengambil pas pelawat untuk ke tingkat 4.


Keadaan di tingkat 4 agak sunyi. Julia menghampiri pintu utama. Dia mencari-cari nama Salina iaitu pegawai sumber manusia yang menghubunginya. Gagang telefon diangkat dan dengan pantas dia mendail nombor sambungan Salina.
“Salina.”
“Cik Salina, Julia ada di luar.”
“Okay. Tunggu sekejap ye.”
Julia memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dia ternampak bilik mesyuarat di antara pintu utama dan lif. Pantas dia melangkah ke arah bilik mesyuarat sementara menanti kedatangan Salina.
“Cik Julia.” Pantas Julia menoleh ke arah datangnya suara itu. Kelihatan seorang wanita yang begitu cantik dan lembut tersenyum mesra ke arahnya.
“Saya Salina.” Ujar wanita itu sambil menghulurkan tangannya. Mereka berjabat tangan dan Salina memberi isyarat untuk Julia mengikutnya.
“Cik Julia akan menduduki ujian. Ujian terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian telah ditetapkan masanya. Cik Julia cuma di beri masa 30 minit untuk menjawab bahagian pertama. Bahagian kedua lebih mudah dan tidak ditetapkan masanya.” Ujar Salina sambil menunjukkan tempat duduk untuk Julia.
“Cik Julia hanya perlu mulakan apabila Cik Julia benar-benar telah bersedia. Kalau Cik Julia rasa perlu ke tandas, bolehlah pergi sekarang. Mesin kira telah pun disediakan untuk kegunaan Cik Julia. Saya akan datang balik dalam masa 1 jam.”  Terang Salina satu-persatu.
“Cik Julia ada apa-apa soalan sebelum saya pergi?” Soal Salina.
“Adakah sesi temuduga akan dijalankan pada hari ini juga?”
“Sekiranya Cik Julia lulus ujian maka Cik Julia akan ditemuduga sejurus selepas keputusan ujian diperolehi. Sekiranya gagal Cik Julia boleh terus balik.” Jawab Salina sebelum melangkah meninggalkan Julia sendirian. 

No comments:

Post a Comment