Julia baru saja membaca email yang baru diterimanya dari Fuad sebentar tadi. Dia tersenyum sendiri membaca kandungan email tersebut. Belum pun sempat Julia membalasnya, satu lagi email diterima dari rakan Fuad bernama Jefri Din atas tajuk perkara yang sama. Kali ini Julia terus ketawa mengekek. Hampir menitis airmata Julia cuba menahan tawanya. Nani rakan sejabatannya mengerling penuh tanda tanya. Pantas tangan Julia mencapai kertas tisu dan menyapu kering airmata yang tergenang di sudut matanya. Tawanya masih bersisa ketika Nani menghampirinya. Pantas Julia menuding ke arah skrin komputer untuk dibaca oleh Nani. Nani turut ketawa. Setelah Nani beredar pergi Julia terus mendail nombor telefon pejabat Fuad.
“Hello.”
“Hello Fuad.” Julia terus ketawa dan tawanya turut disambut dengan gelak tawa Fuad.
“Siapa Jefri Din ni?” Soal Julia setelah mampu mengawal diri dari ketawa.
“Ala… mamat bikers. Geng ofis sini. Hensem orangnya Ju.” Pancing Fuad.
“Dah tu kalau hensem apa pula kena mengenanya dengan Ju?” Balas Julia pura-pura tidak faham.
“Manalah tahu kalau-kalau Ju nak berkenalan dengan dia.” Balas Fuad lagi.
“Malaslah Ju nak kenal-kenal ni. Ju tak ada masa pun. Fuad pun tahu komitmen Ju sekarang ni. Tapi korang berdua memang kelakarlah. Tak tahan Ju gelak.” Sambung Julia dan Fuad kembali ketawa.
Fuad bukan orang asing dalam hidup Julia. Julia telah mengenali Fuad sejak zaman bujangnya hingga mempunyai dua orang cahaya mata kini. Mereka memang akrab. Walaupun hakikatnya mereka sering bertelagah dan berselisih pendapat tentang beberapa perkara namun tidak pernah sedikit pun mencacatkan hubungan persahabatan mereka. Fuad adalah tempat Julia menceritakan segala permasalahannya. Dari sekecil-kecil masalah hinggalah yang besar. Namun Julia tidak pernah tahu tentang masalah Fuad. Fuad pandai menyimpan rahsia peribadinya. Julia pula tidak pernah mendesak dan Fuad pula tidak pernah bercerita.
Fuad menghalakan motornya ke arah perkarangan dewan besar berhampiran pejabatnya. Dari jauh telah kelihatan deretan motorsikal berkuasa tinggi di bahagian hadapan dewan.
“Fuad! Cepat sikit! Semua orang dah tunggu ni.” Jerit Sharudin sambil menggamit ke arah Fuad. Kelihatan di situ rakan-rakan yang lain sedang bersedia menunggu taklimat dari ketua ekspedisi.
“Sori geng terlewat sikit.” Ujar Fuad masih termengah-mengah. Jefri hanya mengangguk lalu terus memulakan taklimat. Selesai memberi taklimat Fuad terus menghampiri Jefri.
“Julia kirim salam.” Ucap Fuad sambil melemparkan senyuman penuh makna ke arah Jefri.
“Julia mana?” Soal Jefri kembali.
“Ala, kawan aku dalam senarai email tu.” Balas Fuad.
“Mana aku kenal dia.” Jawab Jefri kembali.
“Nanti aku kenalkan lah. Dia gelak pasal lawak bodoh yang kau emailkan ari tu.” Ujar Fuad sambil ketawa disambut oleh rakan baiknya Sharudin.
Julia sibuk mengemas dokumen di atas mejanya. Masih ada 15 minit lagi sebelum waktu balik. Hari ini seperti hari-hari yang lain, Julia tidak mempunyai sebarang rancangan selain dari terus pulang ke rumah. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
“Hmmm ada apa hal Fuad?”
“Ju, ada ke mana-mana tak petang ni?” Soal Fuad.
“Balik rumahlah. Nak kemana pulak.” Jawab Julia.
“Ju naik LRT ke stesen Damai. Fuad jemput kat situ.”
“Aih, nak belanja Ju minum ke?”
“Bukan setakat minum, Ju orderlah apa pun yang Ju nak.” Balas Fuad.
“Okay. Ju sampai sana dalam 6 petang.” Balas Julia lalu mematikan telefon bimbitnya. Julia bergegas ke bilik air. Selesai bersolat asar dia mengenakan bedak dan gincu bibir sekadarnya.
“Ada date ke Ju?” Soal Adilah teman sepejabatnya yang dari tadi asyik memerhatikan Julia.
“Ish, tak adalah. Keluar minum dengan kawan lama je. Entah buang tabiat apa dia ajak Ju jumpa.” Balas Julia sambil tersenyum ke arah Adilah.
“Hari ni Dila jalan ke Plaza Rakyat dengan orang lain ye. Ju naik LRT Putra hari ni.” Sambung Julia.
“Tak apa Ju. Dila ingat nak balik lambat sikit hari ni. Ada banyak kerja yang tak siap lagi.” Balas Adilah sambil menepuk bahu Julia mesra.
Tepat jam 6.00 petang Julia sampai di stesen LRT Damai. Seperti biasa keadaan di stesen itu tidak begitu sesak. Belum sempat Julia menelefon Fuad, sebuah Ixus hitam dengan plat pendaftaran WNE 8116 menghampiri dan berhenti betul-betul di hadapan Julia. Cermin tingkap di bahagian penumpang diturunkan dan kelihatan Fuad tersenyum ke arahnya.
“Ju, cepat naik!” jerit Fuad. Julia tanpa berlengah membuka pintu belakang kereta. Dia agak terpempan ketika memandang ke arah tempat pemandu. Lelaki itu menoleh ke arahnya sambil tersenyum. Hampir gugur jantung Julia ketika membalas senyuman lelaki itu. Pantas Julia menutup pintu kereta dan membetulkan duduknya.
“Ju, kenalkan ni Jefri. Jefri, inilah dia Julia. Princess yang aku cakap dulu.” Ujar Fuad.
“Hai Julia.” Sapa Jefri mesra. Julia sekadar tersenyum. Lidahnya kelu tidak terkata. Tepat sekali seperti yang dikatakan Fuad. Lelaki bernama Jefri ini memang kacak. Mereka tidak banyak bercakap sehingga tiba di gerai makan. Setelah membuat pesanan masing-masing barulah mereka mula berbual.
“Julia dulu pernah kerja di Kumpulan PERBA?” soal Jefri sambil memerhatikan Julia. Julia sekadar mengangguk sambil tersenyum.
“Attached dengan syarikat mana?” Soal Jefri lagi.
“Si Ju ni dulu akauntan di Ruby Products.” Jawab Fuad.
“Aku tanya Julia, bukan tanya engkau Fuad. Biarlah Julia jawab sendiri.” Balas Jefri sambil menjeling tajam ke arah Fuad.
“Kenapa sebelum ni tak pernah nampak Julia pun?” sambung Jefri lagi.
“Ju ni low profile. Tak glamour. Sebab tu tak ramai yang perasan.” Jawab Julia bersahaja tanpa memandang ke arah Jefri.
“Ju pernah nampak saya?” Soal Jefri lagi. Julia sekadar menggeleng. Fuad yang membisu dari tadi sekadar tersengih membalas pandangan Julia ke arahnya.
“Jefri dah berapa lama dengan Kumpulan PERBA?” soal Julia. Kali ini pandangannya tepat ke arah wajah kacak Jefri.
“Hampir 20 tahun.” Jawab Jefri pendek.
“Ish…lamanya. Bawah syarikat mana?”
“PERBA Trading. Saya di bahagian minyak diesel dan petrol.” Terang Jefri.
“PERBA Trading di tingkat 2 kan. Ruby Products di tingkat 5 bangunan yang sama, tapi Ju tak pernah nampak Jefri pun masa Ju di PERBA dulu.” Ujar Julia sambil memandang ke arah Fuad.
“Engkau tu Ju nampak muka aku je masa di PERBA dulu.” Seloroh Fuad sambil ketawa.
“Saya jarang ada di ibu pejabat Ju. Selalu outstation ke stesen- stesen minyak di bahagian selatan.” Jawab Jefri.
“Tapi aku confirm, kalau Ju terserempak dengan engkau pun Jef, dia tetap tak akan perasan sebab Ju hanya nampak muka si……..” Belum sempat Fuad menghabiskan ayatnya Julia telah pun mencubit peha Fuad sambil menjeling tajam. Fuad sekadar ketawa mengekek sambil mengenyit mata ke arah Julia.
No comments:
Post a Comment